Ubah sekarang, selamatkan Malaysia!
Empat patah perkataan yang secara ringkasnya mengungkapkan segala belenggu sosial, kepincangan ekonomi dan kemelut politik yang sedang melanda negara kita pada hari ini.
Apakah yang telah terjadi? Bagaimanakah kita boleh sampai ke tahap yang parah ini? Tanah air kita sudah tenat, dan kini terpaksa diselamatkan. Kemanakah perginya impian tokoh-tokoh pengasas negara kita, seperti Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra, yang telah bermimpikan sebuah negara yang maju ekonominya, demokratik institusinya dan bersatu padu masyarakatnya. Tetapi alangkah malangnya pada hari ini, setelah 53 tahun pemerintahan Barisan Nasional, segala impian dan harapan Bapa Kemerdekaan bukan sekadar tidak tercapai malah sudah hancur terkecai.
Inilah hasil satu pemerintahan yang berlandaskan formula ‘pecah dan perintah’, di mana rakyat marhaen dipecah-belahkan dan kemudian diperintah secara berasingan oleh golongan elit daripada UMNO (untuk orang Melayu), MCA (untuk orang Cina), MIC (untuk orang India) dan sebagainya. Tiada bezanya dengan sistem yang dipraktikkan oleh penjajah British.
Yang paling malang, dasar yang berasaskan perkauman ini sudahpun meresap ke dalam akar umbi negara kita, bukan sahaja dalam polisi-polisi kerajaan tetapi juga dalam sanubari masyarakat kita. Segala wacana, mahupun tentang ekonomi, politik atau pendidikan, semuanya dimaklumkan oleh pemikiran parokial yang sekian lama ini telah dipupuk oleh puak pemerintah.
Tidak perlu pergi jauh. Setiap kali orang yang baru dikenali mendengar nama saya, seringkali saya akan ditanya: Eh, awak ni Melayu ke Cina? Nama macam Melayu, muka macam Cina.
Inilah jawapan saya: Saya anak Melayu. Saya juga anak Cina. Saya anak Bangsa Malaysia!
Kita semua anak Bangsa Malaysia. Inilah yang sepatutnya. Sebuah negara yang walaupun terdiri daripada berbilang kaum tetapi bersatu dan bersepakat dalam menghadapi cabaran-cabaran seperti kemiskinan, penyelewengan harta rakyat, penyalahgunaan kuasa, korupsi dan lain-lain lagi. Masalah-masalah yang melanda ini buta warna, ianya tidak mengenali kaum. Akan tetapi, jalan penyelesaian yang disarankan kerajaan BN adalah berdasarkan perkauman.
Contohnya, ekuiti Bumiputra sejumlah 30% – apakah maksudnya? Adakah ia bermaksud bahawa 30% daripada kekayaan negara akan diagihkan secara adil kepada masyarakat Bumiputra? Setelah berdekad-dekad langsungnya Dasar Ekonomi Baru, kita sudah melihat bahawa maksud sebenarnya adalah segala ekuiti, saham dan kontrak yang diperuntukkan untuk golongan Bumiputra akan disapu oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN serta kroni-kroni mereka. Yang diperkayakan adalah mereka sendiri. Cara ini tidak akan berjaya dan jelas telah gagal.
Yang dilaung-laungkan ketuanan Melayu, tetapi yang dipertikaikan adalah orang Melayu juga. Cuma bezanya orang Melayu ahli UMNO dengan orang Melayu biasa. Yang mendapat habuan hanya ahli-ahli dan pemimpin UMNO. Melayu yang biasa dibiarkan di pinggir. Ini fakta: 40% daripada isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan RM1,500 ke bawah. Tiga suku daripada jumlah ini merupakan isi rumah Melayu dan Bumiputra. Jadi ini sebenarnya bukan ketuanan Melayu, tetapi ketuanan UMNO!
Walaupun negara kita sudah merdeka sejak tahun 1957, rakyat Malaysia dan orang Melayu terutamanya masih lagi dijajah dan dikongkong minda oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN. Dasar yang mengongkong orang Melayu ini sudah mengakibatkan satu budaya kebergantungan kepada kerajaan. Orang Melayu diberitahu dan ditakut-takutkan bahawa tanpa pertolongan kerajaan masyarakat Melayu tidak mungkin akan berjaya.
Kita menolak sama sekali hujah dan alasan sebegitu! Ia adalah satu penghinaan besar kepada kaum Melayu. Di Pulau Pinang umpamanya, apabila Kerajaan Negeri memulakan sistem tender terbuka dalam segala kelulusan kontrak Kerajaan Negeri dan agensi-agensinya, langkah ini telah dikecam hebat oleh UMNO. Mereka mendakwa bahawa tanpa pertolongan ‘parti pembela bangsa’ itu, kontraktor Melayu tidak mungkin dapat bersaing dalam keadaan yang bebas dan kompetitif, seolah-olah rezeki itu berada di tangan UMNO. Tetapi, setelah berlangsungnya sistem tender terbuka, kita sudah melihat bahawa kebanyakan daripada kontrak-kontrak kerajaan telah dianugerahkan kepada kontraktor Melayu atas kemampuan mereka sendiri!
Jadi adakah orang Melayu tidak mampu berdaya saing? Jawapannya tidak. Kita harus menolak sama sekali dasar perkauman yang bukan sahaja merendahkan martabat bangsa, tetapi memecah-belahkan rakyat dan hanya menguntungkan segelintir golongan elit UMNO-BN. Jika dibiarkan begitu sahaja, hubungan antara kaum akan semakin tegang dan sikap syak wasangka akan tersebar luas. Akibatnya, negara kita akan kekal dalam kemelut.
Ubah sekarang, selamatkan Malaysia!
Jadi perjuangan kita, sebagai Pakatan Rakyat, sebuah pakatan politik yang secara asasnya tidak berunsurkan kaum, adalah untuk menzahirkan satu ideologi politik baru, yang berlandaskan persaudaraan dan muafakat. Kita seharusnya menjanakan iltizam untuk memulakan budaya baru dalam wacana dan pemikiran negara kita.
Sudah terlalu lama rakyat ditipu. Sudah terlalau lama dalam belenggu. Kini tiba masanya kita berbangkit dan bersama untuk menuntut perubahan yang tuntas dan mutlak. Adalah tanggungjawab kita, sebagai pendukung harapan rakyat, untuk merealisasikan aspirasi ini melalui agenda perubahan kita. Saya yakin, jika kita bersatu dan bekerjasama, impian Bapa Kemerdekaan akan akhirnya tercapai.
Saya ingin mengakhiri ucapan dengan memetik kata-kata Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama negara kita, sewaktu beliau berangkat tiba dari London setelah selesai rundingan Merdeka:
“History has shown that no nation can survive if it does nothing. It has only two choices – to progress or to decline. It depends on the capacity and consciousness of that nation to face changes and developments. When the people are contented … they are always suspicious of anything that might bring about change. But since the history of mankind is a history of changes and development for the better, the contented nation would be stagnate and finally become extinct and only be brought to life again by future historians…”
Ini adalah amaran pengasas negara kita. Jika kita tidak berubah, sejarah kita, negara kita, bangsa kita, semuanya akan luput dan pupus. Jadi pada hari ini, saya menyeru kepada saudara-saudari yang hadir dan rakan-rakan seperjuangan yang lain, supaya bersama-sama kita bersatu menjadi pemangkin perubahan demi menyelamatkan tanah air tercinta.
Ubah sekarang, selamatkan Malaysia!
[This speech was delivered at the 2nd Pakatan Rakyat National Convention on 19 December 2010. Abridged reproduction.]