(1) Jawapan Bertulis YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa menggulung perbahasan Bajet 2010 peringkat dasar pada 9 November 2009
Tuan Yang di-Pertua
Berhubung kenyataan YB Ipoh Timur bahawa tiada political will (dengan izin) yang diperlihatkan oleh YAB Perdana Menteri dalam memerangi rasuah dan pembentukan SPRM serta pembaharuan lain bagi memerangi rasuah adalah tidak efektif, sebenarnya kenyataan YB mengenai perkara ini adalah tidak berasas sama sekali. Hakikatnya the record speaks for itself (dengan izin) telah membuktikan bahawa Kerajaan dan SPRM komited dan bersungguh-sungguh dalam menangani isu rasuah. Ini terbukti melalui perangkaan tangkapan dan pertuduhan terhadap ahli-ahli parti politik dan juga pegawai kanan Kerajaan yang telah saya bentangkan sebentar tadi.
Bukankah kesediaan Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri untuk memperkenalkan Whistle Blower Protection Act (dengan izin) bagi menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil membuat pendedahan jenayah rasuah merupakan satu contoh political will (dengan izin). Bukan setakat itu sahaja, Kerajaan juga akan menambah 14 buah Mahkamah Sesyen dan 4 buah Mahkamah Tinggi bagi mempercepatkan process perbicaraan sesuatu kes berbanding 4 buah Mahkamah Sesyen sedia ada.
Di samping itu, ketika negara menghadapi suasana ekonomi di mana hampir semua perjawatan tambahan di pelbagai agensi dibekukan, Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM22 juta bagi membolehkan SPRM menambah seramai hampir 600 pegawai pada tahun 2010. Tambahan ini merupakan lebih 32% daripada keanggotaan pegawai suruhanjaya sedia ada. Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam usaha memerangi jenayah rasuah dengan lebih agresif lagi. Saya tidak faham apakah lagi political will yang diinginkan oleh YB Ipoh Timur.
Inisiatif-inisiatif lain dalam memerangi rasuah khususnya yang dibentuk melalui NKRA akan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri tidak lama lagi. Oleh itu, kenyataan YB Ipoh Timur yang mengatakan bahawa usaha memerangi rasuah tidak efektif adalah tidak tepat memandanfkan inisiatif-inisiatif tersebut masih belum dilaksanakan lagi. Harap YB Ipoh Timur dapat bersabar dan buatlah komen membina selepas inisiatif-inisiatif tersebut dilaksanakan.
(2) Jawapan Bertulis YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa menggulung perbahasan bajet 2010 peringkat dasar pada 9 Novembner 2009
Tuan Yang di-Pertua,
YB Ipoh TImur ingin tahu bilangan laporan yang dibuat terhadap pegawai SPRM atas dakwaan menggunakan kekerasan semasa proses soal siasat. Untuk makluman YB, berdasarkan rekod dari tahun 2005 hingga 30 September 2009 sejumlah 58 laporan telah dibuat kepada pihak polis di seluruh negara berhubung dakwaan penggunaan kekerasan oleh pegawai-pegawai BPR/SPRM ke atas orang yang disiasat. Namun begitu, setakat ini tiada rekod menumjukkan pegawai BPR/SPRM pernah didakwa di mahkamah atau dikenakan sebarang tindakan tatatertib berikutan siasatan yang dijalankan.
Untuk makluman YB, terdapat kecenderungan apabila seseorang yang ditangkap atau disiasat oleh SPRM membuat laporan polis menyatakan mereka didera dan dipaksa membuat pengakuan kepada SPRM selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM. Tindakan mereka ini bertujuan untuk mengelakkan pengakuan mereka dijadikan keterangan di mahkamah nanti. Ia juga mungkin bertujuan untuk meraih simpati serta memberi gambaran bahawa SPRM adalah agensi penguatkuasaan yang kejam. Saya menyeru agar SPRM dan pihak polis mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa mereka yang dengan sengaja mebuat laporan palsu berhubung penggunaan kekerasan oleh SPRM kerana perbuatan mereka ini sebenarnya berniat jahat semata-mata untuk mencemarkan kredibiliti dan imej SPRM sebagai sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab dan professional.